Wednesday, January 20, 2010

Majlis Penyerahan Watikah Pengawas

Minggu ke-2 persekolahan telah diadakan majlis perlantikan pengawas sekolah bagi sesi 2010.



Ketua Balai Polis Chabang Tiga berucap tentang masalah sosial remaja masakini serta memberikan nasihat yang berguna kepada murid-murid


Penyerahan watikah kepada pengawas sekolah


Ikrar pengawas yang diketuai oleh adik Wan Nur Azleen.


Guru besar berbesar hati menyampaikan sedikit saguhati kepada Ketua Balai

Aktiviti Penutup Minggu Orientasi MuridTahun 1

Dua minggu telah berlalu adik-adik kita di Tahun 1 mengikuti minggu orientasi, akhirnya.........
saat yang di nanti- nanti. Horeyyyyyy.....................


Semangat punya pasal sampai melentok badan


Bismillahhirrahmanirrahim............................fuuuhhhhh,masuk...............



THE MASTER LEADER OF SKLOSONG...


Guru Besar Sekolah Kebangsaan Losong, Puan Nor Lela Bt. Yusoff. Tonggak Utama, kejayaan SKLOSONG.

Murid darjah satu...

AKTIVITI AWAL PERSEKOLAHAN 2010


Cikgu darjah 1, Puan Ainon sedang membawa murid tahun 1 melawat sekitar kawasan sekolah.


Dari kiri cepat jalan. Inilah barisan kita, yang ikhlas berjuang, siap sedia berkorban untuk ibubapa ku....


Kiri, kanan, kiri............ sedia menurut perintah......

Barisan puteri-puteri yang cilik....

Sekitar Aktiviti Sekolah

Sepanjang tahun 2009, Sekolah Kebangsaan Losong telah menjalankan pelbagai aktiviti bagi memenuhi kalendar sekolah. Aktiviti yang dijalankan telah berjaya menarik minat pelajar - pelajar mengikuti dengan jayanya. Ini memberi pengalaman yang sangat berharga.
Para pengawas - pengawas sekolah dan pengawas perpustakaan sedang mengikuti kursus motivasi di Angulia Resort, Marang.
Salah satu aktiviti di dalam kursus Pencegahan Kebakaran di Sekolah Kebangsaan Losong.
Perkhemahan akhir tahun 2009. Memandangkan Sekolah Kebangsaan Losong tidak mempunyai padang, khemah terpaksa dibina di atas batu- bata.

Sejarah Sekolah Kebangsaan Losong

SEJARAH SKL

Sekolah Kebangsaan Losong ditubuhkan pada tahun 1923, merupakan salah sebuah sekolah yang tertua di daerah Kuala Terengganu. Sejarah awal penubuhan sekolah ini mengikut catatan buku sejarah adalah mengikut sempena nama Kampung Losong.

Khabar cerita dari Tuan Haji Nawang in Haji Abdullah, lelaki tertua di Kampung Losong menyatakan bahawa Kampung Losong berasal daripada nama seorang perempuan Bugis yang bernama ‘LOSONG’ bersama-sama dengan seramai 10 orang hambanya serta 40 ekor anjing untuk menjaga dan mengawal kampung. Sudah menjadi sejarah silam, bahawa “yang kuat berkuasa dan yang lemah menjadi pengikut”, maka ketika itu telah meletus peperangan bagi merebut kuasa dan jajahan. Akhirnya Losong bersama-sama hambanya telah melarikan diri kerana telah kalah dalam peperangan tersebut. Dari peristiwa inilah lahirnya nama Kampung Losong dan mula membangun sehingga ke hari ini.

Lahirlah beberapa buah kampung yang bermula dengan nama Losong seperti Kampung Losong Panglima Perang, Kampung Losong Megat Hussin, Kampung Losong Haji Su, Kampung Losong Lebai Salleh, Kampung Losong Feri, Kampung Losong Haji Long, Kampung Losong Masjid, Kampung Losong Pasir dan beberapa nama kampung yang bermula dari perkataan Losong. Perkampungan Melayu ini, rata-rata didiami oleh kaum nelayan, buruh, penjaja, pekedai, bekerja sendiri dan segelintir sahaja kakitangan kerajaan.

Pada awal penubuhannya, Sekolah Kebangsaan Losong hanya terdiri daripada muid-murid lelaki sahaja. Pada awal penubuhannya, sekolah ini hanya mempunyai sebuah bangunan yang diperbuat daripada kayu dan beratap nipah dengan keluasan lebih kurang satu ekar. Dibina dalam kawasan berpaya bakau dan nipah (baran) dan bersebelahan dengan sebuah alur. Ini menyebabkan sekolah sering ditenggelami air apabila air pasang dan segala aktiviti tergendala. Ketika itu sekolah hanya mempunyai seramai lebih kurang lima puluh orang murid-murid yang semua terdiri daripada murid lelaki sahaja di bawah tunjuk ajar lima orang guru Latihan Normal.

Dalam tahun 1975, bangunan kayu digantikan dengan sebuah bangunan batu tiga tingkat yang didirikan di atas tapak asal. Bilangan murid mula bertambah dan bermula tahun 1979 sekolah telah mula menerima kemasukan murid-murid perempuan. Dengan pertambahan bilangan murid yang mendadak menyebabkan sekolah terpaksa mewujudkan dua sidang, iaitu sesi pagi dan sesi petang. Akhirnya, pada tahun 1979 sebuah bangunan batu tiga tingkat telah dibina bagi menampung keperluan pendidikan. Bangunan tambahan ini mempunyai tujuh bilik darjah, bilik tayangan, bilik komputer, perpustakaan sumber, makmal Kemahiran Hidup, setor Alat Bantu Mangajar dan sebuah Dewan terbuka. Bilangan murid semakin bertambah sehingga mencecah seribu orang, apabila terdirinya projek perumahan di Kampung Losong Feri dan sebuah pasar bersebelahan dengan pagar sekolah, iaitu Pasar Chabang Tiga. Yang mana, majoriti anak-anak penjaja di pasar berkenaan menghantar anak mereka ke Sekolah Kebangsaan Losong. walaupun mereka tinggal berjauhan dengan sekolah seperti Seberang Takir, Gong Badak dan Wakaf Mempelam.

Kini di awal tahun 2000, apabila Sekolah Kebangsaan Bukit Losong dibuka, Sekolah Kebangsaan Losong hanya mempunyai seramai Empat Ratus Lima Puluh orang murid laki-laki dan perempuan dengan tenaga pengajar seramai Dua Puluh Tujuh orang. Sekolah dilaksanakan dalam satu sesi sahaja. Dengan keluasan sekolah yang agak terbatas dan terhad, tiada padang permainan, maka aktiviti kokurikulum tidak dapat dijalankan sepenuhnya. Sekolah hanya merancang aktiviti permainan gelanggang dan dalaman sahaja seperti sepak takraw, ping pong dan aktiviti kokurikulum akademik seperti nasyid dan koir. Bagi mewujudkan Sekolah Berwatak, Pasukan Koir dan Nasyid telah beberapa kali mencipta nama sebagai Johan Peringkat Daerah dan Negeri.

Sekolah Kebangsaan Losong telah mengukir nama dengan melahirkan anak tempatan yang berkebolehan, berkepimpinan dalam menjawat jawatan penting dalam perkidmatan sektor awam, swasta dan usahawan berjaya. Nama-nama seperti Tuan Haji Mohd Omar bin Abdul Rahman (bekas Pengarah Pendidikan Terengganu), Dato’ Haji Alwi bin Mohamad (bekas Pengarah Yayasan Islam Negeri Terengganu), Dato’ Haji Azman bin Muda (bekas Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Negeri Terengganu) dan Tuan Haji Nik Abdul Kadir (seorang usahawan berjaya).

Lagu Sekolah

SULUH ILMU

Membaca, menulis, mengira;

Teras kemajuan kita;
Di Sekolah Losong Kuala Terengganu;
Mendukung cita-cita.

Kamilah rakyat Malaysia;
Berikrar penuh detia;
Rukun Negara panduan kita'
Islam pegangan jua.

Berkhidmat sepenuhnya;
Pada Raja, Negara;
Kamilah harapan;
Pemimpin masa hadapan.

Rahmati kami Ya Allah;
Berilah kami hidayah;
Suluh ilmu bertambah maju;
SKL, SKL.

Tuesday, January 19, 2010

Tokoh Tempatan



BELASUNGKAWA DATO’ HAJI RAZALI BIN ISMAIL (1949-2008)

PPAT KEHILANGAN PEMIMPIN DISEGANI


Meskipun sedetik berlalu, pelbagai peristiwa yang mewarnai kehidupan manusia boleh berlaku. Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) khasnya, kehilangan seorang pemimpin dan tokoh akademik berwibawa serta disegani ramai kerana pengalaman dan idea bernas yang sering dilontarkan bagi melahirkan cerdik pandai. Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Timbalan Pengerusi Dato’ Razali bin Ismail, 59 tahun tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda bahawa beliau sakit malah kelihatan sihat dan cergas. Berita kematiannya memang mengejutkan.


Allahyarham dilantik Timbalan Menteri Pelajaran pada 18 Mac 2008 merupakan Ahli Perlimen Kuala Terengganu meninggal dunia secara mengejut di Institut Aminuddin Baki (IAB), Genting Highlands pada 28 November 2008 ketika sedang bermain badminton kira-kira pukul 6.30 petang. Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Sheikh Ibrahim, Jalan Pusara, Kuala Terengganu.


Allahyarham yang dilahirkan di Kuala Berang pada 25 Jun 1949 mendapat Diploma Pendidikan dari Universiti Malaya tahun 1973 dan kemudiannya melanjutkan Ijazah Sarjana juga dalam bidang pendidikan di University of Birmingham tahun 1986 dan 1987.

Pengalaman sebagai seorang Pendidik, Pensyarah dan Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, di Kementerian Pelajaran banyak membantu beliau menjadi seorang pemimpin yang boleh diterima oleh seluruh masyarakat. Beliau pernah memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sejak 2004.


Selaku Timbalan Pengerusi PPAT yang dilantik pada 7 Julai 2004, beliau telah bersama-sama membangunkan PPAT dalam mencetuskan tradisi keintelektualan dan budaya ilmu. Nilai tambah dalam bidang pembacaan termasuk infrastruktur perpustakaan samada di pihak pengguna mahupun warga kerja perpustakaan adalah penting dalam usaha melahirkan rakyat yang bestari dan kreafif. Program terakhir Allahyarham bersama PPAT ialah merasmikan Program Jerayawara Bulan Bahasa Dan Sastera Negara 2008 Peringkat Wilayah Timur pada 26 Oktober 2008 bertempat di Dewan Teater, Perpustakaan Awam Negeri Terengganu.


Personalitinya yang sederhana dan cukup mesra membuatkan Allahyarham mudah diterima oleh semua golongan masyarakat. Allahyarham meninggalkan balu To’ Puan Nooraini Lob Yusoff 51, dan lima orang cahaya mata iaitu Muhamad Nurazli 30, Pengurus di Sime Darby Bhd, Asrul Shah 27 bertugas sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik, Khairul Amar 23, masih menuntut di Amerika Syarikat, Khairul Anwar menuntut di Universiti Selangor dan yang bongsu Khairul Arif 16, pelajarolah Menengah Agama Persekutuan Kajang, Selangor.


Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama orang yang soleh.


Pulau Pandan jauh ke tengah

Gunung Daik bercabang tiga

Hancur badan dikandung tanah

Budi yang baik dikenang juga.

Tempat - tempat yang menarik




MUZIUM TERENGGANU
-Muzium Terengganu telah dirasmikan pada 20 April 1996 bersamaan 2 Zulhijjah 1416 oleh Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan Terengganu. Meliputi kawasan seluas 27
hektar, kompleks ini mempunyai keluasan lantai keseluruhan berjumlah 75,075 meter persegi. Terdiri dari 4 blok bangunan Muzium Utama, kompleks ini juga mempunyai Muzium Maritim, 5 buah rumah tradisional serta kawasan landskap. Antara galeri yang terdapat di bangunan utama ialah Galeri Islam, Galeri Tekstil, Galeri DiRaja, Galeri Sejarah, Galeri Kraf, Galeri Petroleum, Galeri Ilmu Kejadian. Di Muzium Maritim pula terdapat 2 Galeri iaitu Galeri Perikanan dan Taman Laut serta Galeri Pelayaran dan Perdagangan.



GALERI ILMU KEJADIAN

-Galeri ini memaparkan pelbagai jenis sumber alam yang terdiri dari fauna, flora, batu batan dan galian terdapat di Terengganu serta kepentingannya dengan kehidupan manusia. GALERI SEJARAH Tamadun manusia bermula di sini, perkembangannya dari zaman prasejarah, zaman logam hingga ke zaman proto sejarah. Pelbagai peristiwa digambarkan. Tokoh-tokoh terbilang turut dipamerkan bersama dengan perkembangan dan kemajuan negeri Terengganu. Jangan lepaskan peluang untuk melawat galeri ini.



GALERI TEKSTIL
- Galeri ini memaparkan sejarah, proses penghasilan perkembangan serta jenis-jenis rekstil yang bdihasilkan seperti Songket, Limar, Batik, Pelangi, Cindai, Gerus dan Telepuk. Pelbagai jenis busana tradisional juga dipamerkan, termasuk pakaian harian dan upacara seperti perkahwinan, berkhatan dan banyak lagi.

GALERI PETROLEUM
-Industri petroleum merupakan sumber ekonomi negeri yang penting. Dengan melawat galeri ini, anda diberi peluang menerokai dan mempelajari tentang sejarah dan perkembangan industri minyak di Malaysia yang dipaparkan dengan begitu menarik sekali.

Monday, January 18, 2010

PULAU PERHENTIAN



PULAU PERHENTIAN

PANTAINYA PUTIH LAUTNYA BIRU

Suatu waktu dahulu ia hanya dikenali sebagai tempat persinggahan dan perlindungan bagi nelayan ketika rebut, tetapi hari ini ia muncul sebagai salah sebuah pulau pelancongan yang tercantik di negara ini. Itulah Pulau Perhentian-pulau damai yang masih terpelihara keindahan semulajadinya.

Pulau ini terletak kira-kira 20km dari pantai Besut, Terengganu. Perjalanan dari Kuala Besut ke pulau ini mengambil masa kira-kira 1 jam 45 minit. Pulau ini terbahagi kepada dua-Pulau Perhentian Kecil dan Pulau Perhentian Besar atau lebih dikenali sebagai Pulau Perhentian sahaja. Kedua-dua pulau ini dipisahkan oleh selat kecil selebar setengah kilometer. Pulau Perhentian Kecil merupakan perkampungan nelayan yang lengkap dengan pelbagai kemudahan asasnya.

Deretan pohon kelapa, pantai berpasir putih dan laut biru yang tenang, dapat menambat hati setiap pengunjung dan pencinta alam yang datang ke sini. Pulau Perhentian diindahkan dengan pantainya yang berteluk cetek dan berbatu cantik, sesuai untuk mandi-manda. Di sepanjang pantai dapat melihat pelbagai jenis dan bentuk batu karang serta moluska laut seperti siput, tiram dan tumbuhan laut yang jarang ditemui di pantai-pantai biasa. Bagaimanapun, pengunjung-pengunjung dilarang keras memungut sebarang jenis hidupan laut ini, kerana pulau ini dilindungi di bawah Jabatan Perikanan dan Kementerian Alam Sekitar.

Bagi anda yang minat memancing boleh memancing di sepanjang pantai dan teluk di pulau ini. Jika anda bercadang mengelilingi pulau sambil memancing, bot boleh disewa dengan kadar RM20-RM50 bagi satu kumpulan berjumlah antara 5 hingga 20 orang.

Kalaulah ditakdirkan bekalan makanan anda bawa habis, usahlah bimbang. Di sini terdapat beberapa buah restoran mini. Makanan lautnya pelbagai, segar dan harganya sederhana.

Anda juga mungkin berpeluang menikmati pengalaman ke laut bersama-sama dengan nelayan yang singgah di situ. Jika bernasib baik dan tepat pada musimnya, anda berpeluang melihat penyu bertelur di pantai pulau ini.

Jika anda bercadang berkunjung atau bercuti ke pulau ini, bolehlah menghubungu Pejabat Daerah Besut untuk urusan bot dan pengangkutan dan tempahan chalet.

Chalet-chalet itu mempunyai bekalan air dan elektrik di samping peralatan dapur untuk kemudahan mereka yang bercadang bermalam. Kadar sewanya sederhana antara RM10 hingga RM20 satu hari. Anda juga boleh berkhemah (camping) di sepanjang pantai pulau ini.

OLEH ROZAMAN ISMAIL RAMONAS

SEJARAH PULAU PERHENTIAN

Pembukaan dan Penempatan Awal di Pulau Perhentian

Pulau Perhentian mula didiami pada penghujung abad ke 18. Tempat yang mula-mula dibuka dan didiami ialah Teluk Dalam, di sekitar sebatang alur air payau yang cetek yang dikenali sebagai Alur Cina. Orang yang paling awal mendudukinya ialah Batin Mina dan keluarganya. Beliaulah orang yang bertanggungjawab menjadikan Pulau Perhentian sebagai satu petempatan.

Asal Penduduk Pulau Perhentian

Orang yang pertama menduduki Pulau Perhentian dipercayai berasal dari Kepulauan Riau, iaitu jajahan takluk Johor-Riau pada masa itu. Batin Mina dan keluarganya datang ke Pulau Perhentian dengan menumpang kapal-kapal dagang China yang berulang alik dari China ke Asia Tenggara. Beliau telah melarikan diri dari buruan Belanda kerana telah bertindak menentang penjajahan dengan cara merompak dan mengugut kapal-kapal dagang barat. Keturunan beliaulah yang terus mendiami Pulau Perhentian serta beberapa keluarga yang berasal dari Tanah Besar Semenanjung.

Bagaimana Pulau Perhentian Mendapat Nama

Pulau ini pada awalnya tidak mempunyai nama yang khusus. Ianya dijadikan tempat persinggahan bagi kapal-kapal dagang yang berulang alik dari China ke Asia Tenggara seperti Singapura, Jawa dan beberapa tempat di Semenanjung Tanah Melayu. Di pulau ini juga dijadikan tempat persinggahan kapal-kapal garam dari Singgora (Selatan Thai), untuk menghantar garam ke Kuala Terengganu. Oleh kerana pulau ini sering dijadikan tempat persinggahan bagi kapal-kapal yang dalam pelayaran, ianya telah dinamakan sebagai Pulau Perhentian. Iaitu pulau tempat kapal-kapal singgah atau berhenti seketika sebelum meneruskan pelayaran. Sehingga sekarang pulau ini masih lagi dijadikan tempat berlindung bagi kapal-kapal dari angin kencang dan ombak besar.

Pentadbiran Pulau Dan Hubungan Dengan Pemerintah Negeri

Pulau Perhentian pada masa dahulu ditadbir oleh seorang ketua yang dikenali dengan panggilan Batin. Beliaulah orang yang bertanggungjawab terhadap kebajikan dan keselamatan orang-orang di bawah kawalannya. Batin pada masa itu adalah merupakan seorang pendekar yang terbilang dan juga seorang bomoh yang handal serta mempunyai ilmu kebatinan yang tinggi.

Batin Mina merupakan orang yang pertama menduduki dan mentadbir Pulau Perhentian. Pada zamannya teraju pentadbirannya terletak di Teluk Dalam iaitu Pulau Perhentian Besar. Pentadbirannya dibantu oleh seorang panglima yang dikenali sebagai Panglima Dayak. Batin dengan dibantu oleh panglimanya yang bertanggungjawab bagi memastikan keamanan dan kestabilan persekitaran pulau.

Selepas kematian Batin Mina, teraju pemerintahan pulau diambil alih pula oleh adiknya iaitu Batin Jamal. Tidak lama selepas kematian Batin Mina, mereka yang tinggal di perkampungan Teluk Dalam Pulau Perhentian Besar sudah tidak tenteram lagi. Keadaan ini terjadi kerana adanya gangguan dari makhluk-makhluk halus, yang dikatakan sebelumnya dapat dikawal oleh Batin Mina. Keadaan menjadi bertambah buruk lagi apabila tanaman tidak menjadi kerana dirosakkan oleh lutong (sejenis monyet) dan tikus. Oleh kerana keadaan sudah tidak terkawal lagi, Batin Jamal pentadbir pulau pada masa itu mengambil keputusan untuk berpindah.

Batin Jamal dan semua penduduk Pulau Perhentian pada masa itu telah berpindah ke Negeri Sanyanya dan membuka penempatan di situ. Negeri Sanyanya ialah Kuala Besut sekarang ini. Di Negeri Sanyanya (Kuala Besut), Batin Jamal membuka perkampungan baru. Setelah tinggal beberapa lama di Negeri Sanyanya (Kuala Besut), Batin Jamal dan orang-orangnya teringin untuk kembali ke Pulau Perhentian. Setelah mengadakan perbincangan dengan semua orang-orangnya, Batin Jamal mengambil keputusan untuk kembali ke Pulau Perhentian. Sekembalinya dari Negeri Sanyanya (Kuala Besut), mereka tidak lagi tinggal di Teluk Dalam tetapi menduduki Pasir Hantu (penempatan sekarang) di Pulau Perhentian Kecil.

Selepas kematian Batin Jamal, pentadbiran Pulau Perhentian diambil alih pula oleh Batin Deris. Pentadbiran Batin Deris dibantu oleh seorang panglima yang dikenali sebagai Panglima Ebet. Batin Deris dan panglimanya bertanggungjawab terhadap soal-soal kebajikan dan keselamatan orang-orangnya. Selepas kematian Batin Deris, warisan kebatinan diambil alih pula oleh Batin Saman, selepas kematian Batin Saman ianya diambil alih pula oleh Batin Yahya. Kemudian, selepas Batin Yahya meninggal dunia ianya diteruskan pula oleh Batin Talib dengan dibantu oleh panglimanyayang bergelar Panglima Kecik atau dikenali juga dengan panggilan Tok Deramat. Pada zaman Batin Taliblah, penduduk Pulau Perhentian dapat disatukan di satu tempat iaitu penempatan sekarang ini. Batin Talib telah berjaya mengumpulkan semua penduduk Pulau Perhentian di satu kawasan penempatan di sekitar awal abad ke 20. Selepas Batin Talib meninggal dunia, pentadbiran Pulau Perhentian diteruskan lagi oleh Batin Sidek. Batin Sidek merupakan batin yang terakhir sekali dalam warisan kebatinan yang mentadbir Pulau Perhentian. Beliau meninggal dunia pada awal tahun 1990. Selepas kematiannya tidak ada lagi warisan kebatinan yang menjadi ketua penduduk Pulau Perhentian. Ianya telah diganti dengan seorang Ketua Kampung.

Batin Pulau Perhentian mempunyai hubungan istimewa dengan pemerintah negeri iaitu Baginda Al-Sultan Terengganu. Kisah perhubungan ini dikatakan bermula pada zaman Batin Mina lagi sehinggalah kepada batin-batin selepasnya. Hubungan dikatakan bermula apabila Batin Mina berkeupayaan mengubat penyakit yang dihidapi oleh baginda Sultan Terengganu.

Mengikut cerita, pada zaman pemerintahan ayahanda kepada Sultan Sulaiman telah terjalin hubungan antara Batin Mina dengan baginda Al-Sultan Terengganu yang memerintah. Sejarah hubungan istimewa dikatakan bermula apabila Almarhum Sultan yang memerintah ketika itu ingin menduga kepandaian dan kehandalan bomoh dalam negeri dan jajahan takluk baginda. Cara baginda menguji kepandaian bomoh ialah baginda pura-pura sakit.

Apabila baginda sakit seluruh negeri dikhabarkan berita itu. Semua bomoh-bomoh dan dukun-dukun yang handal dipanggil untuk mengubati baginda. Walaupun semua bomoh-bomoh dan dukun-dukun yang handal datang mengubati baginda namun penyakit baginda tidak juga sembuh. Semua bomoh dan dukun yang datang tidak tahu penyakit yang dihidapi oleh baginda.

Berita tentang Al-Sultan Terengganu yang sedang gering itu sampai ke pengetahuan Tengku Chik, Raja yang memerintah Besut pada masa itu. Tengku Chik menyembahkan kepada Al-Sultan Terengganu tentang adanya seorang bomoh yang handal di Pulau Perhentian. Apabila berita itu sampai ke pengetahuan baginda, lalu baginda menitahkan supaya bomoh dipanggil untuk datang ke Kuala Terengganu dan mengubati baginda. Setelah dititahkan oleh Sultan Terengganu supaya datang mengadap, Batin Mina iaitu bomoh yang dimaksudkan oleh Tengku Chik mula bersiap-siap untuk memulakan pelayaran ke Kuala Terengganu.

Batin Mina memulakan pelayaran ke Kuala Terengganu dengan menggunakan sebuah perahu kecil yang diperbuat daripada batang kayu dan layarnya diperbuat daripada sebidang tikar. Pada masa itu ialah musim tengkujuh. Batin Mina belayar seorang diri mengharungi gelora musim tengkujuh untuk ke Kuala Terengganu semata-mata untuk mengubati Baginda Al-Sultan. Setelah sampai di Kuala Sungai Terengganu dan mendarat di jeti tidak jauh dari Istana Maziah, beliau disambut oleh seorang wakil Al-Sultan yang dikenali dengan nama Pak Bian. Kedatangan Batin Mina memang ditunggu-tunggu oleh pihak istana.

Mengikut cerita perahu kecil yang berlayarkan tikar yang dinaiki oleh Batin Mina mempunyai keanehan dan luar biasa pada pandangan orang ramai. Perahu kecil yang diperbuat daripada sebatang kayu dan menggunakan layar sebidang tikar itu dilihat oleh orang ramai yang menunggu ketibaannya bagaikan sebuah kapal yang besar dan dinaiki oleh berpuluh-puluh orang. Tetapi setelah ianya semakin hampir dengan pantai ianya dilihat semakin kecil dan akhirnya ianya adalah sebuah perahu layar yang kecil sahaja.

Batin Mina masuk ke dalam istana dan diberi santapan Diraja. Setelah berehat seketika, Batin Mina dititahkan mengadap Duli Yang Maha Mulia Sultan untuk melihat penyakit yang dihidapi oleh Baginda. Setelah masuk mengadap, Batin Mina mempersembahkan kepada Duli Yang Mulia Sultan bahawa Baginda sebenarnya tidak sakit. Ia sudah mengetahui bahawa Baginda Al-Sultan sekadar ingin menguji kepandaian dan kehandalan bomoh yang ada di serata negeri. Setelah Al-Sultan mengetahui bahawa Batin Mina sudah mengetahui bahawa Baginda tidak sakit, Baginda pun terus bangkit dari tempat peraduan dan segera menghampiri Batin Mina. Baginda Al-Sultan mengakui kehandalan Batin Mina sebagai seorang bomoh.

Sejak peristiwa itulah, batin-batin yang tinggal di Pulau Perhentian mendapat layanan istimewa daripada Baginda Al-Sultan Terengganu. Mengikut cerita Baginda Al-Sultan berjanji akan memberi layanan istimewa kepada Batin Mina dan anak cucunya yang tinggal di Pulau Perhentian. Mulai dari peristiwa itu jugalah Duli Yang Maha Mulia Sultan-Sultan yang seterusnya dikatakan tetap menghormati Batin-Batin Pulau Perhentian dan sering juga mengunjungi Pulau Perhentian.

Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Sulaiman, Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Zainal Abidin 11, Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan Duli Yang Maha Mulia Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah juga sering mengunjungi Pulau Perhentian. Mengikut cerita setiap kunjungan Duli-Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan akan disambut dengan upacara penuh istiadat mengikut tradisi. Segala tradisi ini berterusan sehinggalah kepada Batin yang terakhir iaitu Batin Sidek. Kawasan perairan Pulau Perhentian dan sekitarnya diletakkan di bawah kawalan Batin-Batin sehinggalah sampai ke zaman pemerintahan Inggeris. Ianya bermula dari zaman Batin Mina lagi. Selepas kematian Batin Sidek, tidak ada lagi warisan kebatinan yang mengepalai penduduk Pulau Perhentian. Ianya telah diganti dengan seorang Ketua Kampung yang dilantik oleh masyarakat. Bermula pada tahun 1990, seorang Ketua Kampung mengetuai penduduk Pulau Perhentian.


Pulau Kapas



PULAU KAPAS

Kira-kira seratus tahun lampau, Pulau Kapas yang terletak enam kilometer dari Pantai Marang, Terengganu amat ditakuti oleh penduduk dan nelayan tempatan. Mereka cukup takut berteduh terutamanya pada musim tengkujuh. Mereka takut dan khuatir nyawa terancam apbila mendekatinya.

Pulau Kapas dikatakan berpenunggu puaka-beberapa orang yang singgah di situ menerima nasib malang, menemui ajal dalam keadaan yang ngeri dan memilukan. Memang ada di kalangan nelayan-nelayan yang menjadi mangsanya, ada juga yang hilang begitu sahaja. Demikian menurut cerita beberapa orang penduduk setempat.

Selain itu, terdapat cerita yang diperturunkan dari mulut ke mulut tentang asal usul Pulau Kapas, iaitu tentang adanya seekor harimau ganas yang tidak diketahui jenisnya yang sentiasa membaham sesiapa sahaja yang berada di situ. Harimau tersebut kononnya dapat berubah wajah menjadi orang tua atau perempuan cantik yang pandai menggoda.

Apabila bertukar wajah menjadi orang tua ia meminta orang melakukan sembahan-sama ada kambing atau anak lembu. Darahnya hendaklah dihantar ke puncak bukit di situ. Jika ingkar, ia bertukar menjadi harimau, lantas membaham yang ingkar.

Apabila menyerupai perempuan cantik, ia lantas sahaja menggoda. Apabila mangsanya tergoda, ia berubah menjadi harimau dan membaham mangsanya.

Bagaimanapun, orang yang ke Pulau Kapas kini tidak pernah berasa bimbang atau takut lagi. Segala cerita tentang puaka dan harimau itu tinggal dongeng. Pulau Kapas kini menjadi pulau pelancongan yang kian sibuk.

Pulau Kapas yang terletak di perairan Terengganu dikelilingi air laut yang jernih bagaikan kaca sehingga kelihatan batu-batu karang dan ikan pelbagai jenis berwarna-warni.

Pantainya putih bersih dan pemandangannya begitu menarik dengan batu-batan menghampar ke laut. Ia berbukit-bukit dengan hutan menghijau.

Pulau ini juga mempunyai beberapa keistimewaan lain, termasuk sebuah perigi berair sejuk semulajadi. Ia juga sesuai bagi yang berminat dengan aktiviti berperahu, menangkap ikan, menyelam, berkelah dan memancing.

Untuk tiba di pulau ini tidak begitu menyulitkan. Memandangkan terdapat banyak perkhidmatan bot penumpang dari pantai Marang. Pejalan sejauh enam kilometer mengambil masa kira-kira 30 minit. Sebarang tempahan dan pertanyaan boleh dibuat menerusi Hotel Pantai Primula, Kuala Terengganu.

TAMAN LAUT

Sebagai tetamu Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman, ahli-ahli PERTAMA telah dibawa melawat Pulau Kapas yang diisytiharkan sebagai Taman Laut yang diberi perlindungan dan perhatian oleh Kerajaan Terengganu

Pulau Kapas dengan keluasan 2.72 km persegi memang mengkagumkan. Sepanjang pantai memutih umpama kapas. Air laut yang jernih kebiruan bagaikan cermin, dari permukaannya jelas kelihatan pemandangan di dasarnya, batu-batu karang yang hidup dan mati ditutupi lumut laut dapat dihayati. Begitu juga kumpulan ikan-ikan kecil berkilauan berenang ke sana sini di celah-celah batu karang dan sepanjang pantai sungguh menghiburkan serta menyeronokkan.

Angin dingin bertiup dari arah Laut Cina Selatan begitu nyaman, burung-burung Camar berwarna putih bersih berterbangan di permukaan laut dengan riangnya, bagaikan sedang memperagakan tarian dari syurga.

Pulau Kapas menurut ceritanya didatangi oleh penyu dari jenis Agar untuk bertelur sepanjang bulan Jun hingga Oktober pada setiap tahun.

Untuk sampai ke Pulau Kapas kita perlumenaiki bot dari pengkalan nelayan di Marang dengan perjalanan sejauh enam kilometer, mengambil masa lebih kurang 45 minit setelah bergelut dengan ombak dan gelombang. Dari atas bot jelas kelihatan keindahan laut di persekitaran dan juga gunung-ganang di sekeliling pulau yang begitu menarik, terutama kepada pencinta alam semulajadi.

Pulau Kapas merupakan syurga bagi penyelam, snoorkeling, scuba diving dan aktiviti seumpamanya. Airnya yang jernih memberikan ketenangan kepada para pengunjungnya. Perkhidmatan bot dengan kadar bayaran RM15 seorang pergi balik, tempat penginapan chalet dan kemudahan-kemudahan sampingan yang lain memang disediakan untuk para pengunjung dengan layanan ramah dan mesra daripada pekerja-pekerjanya.

Di pulau ini pelancong bukan sekadar dapat menikmati keindahan pantai dan Taman Lautnya malah hampir 95% kawasannya dipenuhi oleh bukit dan gunung-ganang yang ditumbuhi oleh hutan hijau semulajadi. Pulau ini juga merupakan tempat perlindungan nelayan sewaktu musim tengkujuh.

Terdapat berbagai lagenda mengenai pulau ini yang dipercayai oleh penduduk-penduduk tempatan. Kononnya pada suatu masa dahulu sepanjang pantai pulau ini pasirnya berwarna kuning. Sebuah kapal dagang membawa muatan kapas telah tenggelam berhampiran di situ.

Semua muatan kapal hanyut dibawa ombak ke pantai pulau lalu mengubah warna pasirnya hingga menjadi putih. Sebab itulah pulau ini dinamakan Pulau Kapas. Satu lagi lagenda mengatakan pada zaman dahulu sesiapa yang pergi ke pulau ini pasti akan mati dan pulau ini melambangkan kapas bagi mengapankan orang yang telah mati di sana.

Berbagai lagenda lain dapat didengar daripada penduduk tempatan, tetapi biar apa pun dongeng yang diperdengarkan, pulau ini begitu menarik perhatian pengunjungnya, kaya dengan keindahan, menawarkan ketenangan dan kedamaian yang pasti mencengkam citarasa pengunjungnya.

Usaha positif daripada pihak berwajib ke arah memajukan dan memperkenalkan Pulau Kapas sebagai suatu destinasi pelancongan terkenal amat cerah kelihatan, dan tidak kurang pentingnya ia merupakan suatu khazanah unggul warisan kekayaan negeri Terengganu Darul Iman.

OLEH FARIDAH ANOM ARSHAD


Blogspot Template by Isnaini Dot Com. Powered by Blogger and Supported by Lincah.Com - Bugatti Cars